Telekomunikasi hutan : VOL 1

Info

Admin
November 1, 2017

Share

Telekomunikasi hutan : VOL 1

by: EJ

Apabila kita bergerak ke hutan atau gunung, selalunya kita juga akan bergerak keluar dari kawasan rangkaian telekomunikasi yang kita gunakan setiap hari. Talian telefon  terputus menyebabkan kita tidak lagi dapat berhubung. Jarak perjalanan ke dalam hutan juga akan menjadi halangan sekiranya seseorang ingin bergerak dan menyampaikan maklumat secara bersemuka dengan cepat.

Kadangkala, ada kecemasan yang mendesak untuk kita berhubung jarak jauh secara segera, walaupun ketika itu kita berada di dalam hutan atau di atas gunung. Kes-kes  kecemasan ini selalunya melibatkan hal-hal besar dan penting seperti nyawa, keluarga dan sebagainya. Jadi, kita harus tahu cara-cara terbaik untuk berusaha berhubung.

TELEFON

Cara paling mudah ialah menggunakan telefon mudah alih seperti sewaktu berada di dunia luar. Walaupun selalunya kawasan hutan yang terpencil tidak termasuk dalam rangkaian perkhidmatan syarikat telekomunikasi, kadangkala kita masih dapat berhubung melalui menara telefon di bandar atau kampung terdekat.

Jarak yang berkemungkinan untuk berhubung ialah di bawah 35km dari menara terdekat, tetapi kadangkala kita boleh bernasib baik dan dapat berhubung sehingga sejauh 80km dari menara jika tiada halangan fizikal di antara menara itu dan lokasi kita. Walaubagaimanapun, apa-apa halangan fizikal akan memutuskan hubungan walaupun kita berada dalam jarak dekat.

Gelombang radio bergerak lurus seperti pancaran cahaya, jadi cara paling mudah untuk kita membayangkan situasi ini ialah telefon kita dan menara telefon itu memancarkan lampu antara satu sama lain. Jika ada apa-apa halangan di antara kedua-dua itu, pancaran lampu tidak dapat dilihat maka hubungan akan terputus. Cara terbaik untuk kita berusaha berhubung ialah mencari kawasan yang mempunyai laluan terbuka menghala ke kawasan berpenempatan terdekat.

Contoh kawasan-kawasan terbaik untuk mencuba perhubungan telefon ialah kawasan tinggi seperti puncak atau permatang. Pastikan pemandangan anda terbuka dan tidak terhalang oleh bukit-bukau. Jika anda mempunyai alatan dan kemahiran navigasi, boleh semak arah penempatan terdekat dan cari bukaan menghala ke arah itu.

Penggunaan telefon sewaktu ekspedisi hutan atau gunung sebaiknya diminimakan untuk tujuan-tujuan penting sahaja. Contoh tujuan-tujuan tidak penting ialah untuk mengemaskini media sosial atau menyemak aplikasi mesej. Jangka hayat bateri telefon anda sebaiknya dimaksimakan untuk persediaan kecemasan. Walaupun anda mempunyai simpanan bateri yang besar seperti powerbank, jangan bazirkan kerana kadangkala kecemasan boleh berlaku untuk jangka masa panjang.

Matikan perkhidmatan  suara dan data telefon anda ketika tidak digunakan untuk menjimatkan bateri.  Antara aplikasi-aplikasi yang menggunakan tenaga bateri yang banyak ialah kamera, perakam video, dan perakam GPS. Kawal penggunaan anda dan pastikan anda masih mempunyai tenaga bateri untuk membuat dan menerima perhubungan kecemasan.

Cara terbaik untuk cuba memberi dan menerima maklumat melalui telefon dalam keaadan sukar ialah menggunakan panggilan suara dan pesanan ringkas (SMS). Pilih rangkaian 2G kerana rangkaian ini biasanya mempunyai jarak efektif paling jauh dengan penggunaan tenaga paling rendah.

Panggilan suara baik kerana anda boleh memastikan panggilan anda disambung atau tidak. Walaubagaimanapun, maklumat melalui suara akan sukar disampaikan dengan tepat jika mutu sambungan itu rendah. Anda akan sukar memastikan adakah pihak yang dihubungi telah benar-benar menerima dan memahami maklumat yang cuba disampaikan.

Pesanan SMS baik kerana menggunakan tenaga bateri yang lebih sedikit berbanding panggilan suara. Pesanan SMS mudah difahami dan boleh disimpan untuk rujukan. Pesanan SMS biasanya akan cuba dihantar berulang-ulang jika cubaan asal tidak berjaya. Tetapi, selagi anda tidak menerima pesanan balas, anda tidak boleh menganggap maklumat anda telah sampai kepada orang yang cuba dihubungi.

RADIO

Radio amatur atau selalu dipanggil sebagai walkie-talkie mempunyai pelbagai kegunaan di dalam hutan dan di atas gunung. Anda boleh berhubung sesama ahli kumpulan atau ataupun dengan orang di luar. Walaubagaimanapun, penggunaan radio amatur dikawal oleh pihak berkuasa (SKMM) untuk memastikan tiada gangguan kepada pengguna atau perkhidmatan lain.

Penggunaan radio dikawal kerana di sekeliling kita terdapat pelbagai peralatan dan perkhidmatan yang menggunakan gelombang radio, contohnya siaran radio FM, telefon bimbit dan banyak lagi. Pengguna radio amatur berlesen, walaupun diberi kebenaran memancar, cuma dibenarkan beroperasi dalam frekuensi-frekuensi tertentu supaya tidak menimbulkan gangguan.

Mempunyai lesen radio amatur akan memberikan anda kelebihan dan lebih ruang untuk beroperasi, tetapi anda masih boleh menggunakan radio tanpa lesen. Pihak berkuasa telah memberi kelonggaran untuk pengguna beroperasi tanpa memerlukan lesen pada beberapa frekuensi tertentu

Julat frekuensi  tanpa lesen yang sesuai untuk kegunaan di hutan atau gunung ialah dari 477.0125MHz hingga 477.4875MHz (477Mhz Citizen Band) (rujuk  Table E, Fifth Schedule, Class Assignment No 1 of 2017 MCMC ). Anda dibenarkan menggunakan frekuensi ini dengan kuasa maksima 5 Watt.

477MHz Citizen Band boleh digunakan dengan kebanyakan radio UHF atau dual band yang kini berada di pasaran pada harga mampu milik. Walaubagaimapun, anda perlu mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari orang yang arif tentang radio untuk memastikan peralatan dan cara penggunaan anda menepati peraturan SKMM. Tidak menepati peraturan ini akan melanggar undang-undang negara serta menimbulkan gangguan kepada pengguna radio lain.

477MHz Citizen Band boleh digunakan untuk berhubung antara ahli kumpulan sejauh beberapa kilometer bergantung pada bentuk muka bumi. Seperti contoh pancaran lampu antara telefon bimbit dan menara telefon di awal tadi, radio juga berfungsi melalui konsep yang sama dan akan terputus hubungan jika terdapat halangan fizikal walaupun pada jarak dekat.

Pengguna radio amatur berlesen yang mempunyai Apparatus Assignment sendiri boleh menggunakan mana-mana mod serta frekuensi amatur yang dibenarkan. Lazimnya frekuensi dan mod yang digunakan ialah VHF FM (simplex) menggunakan handheld transceiver (HT). Simpan tetapan pengulang berhampiran kawasan yang akan anda lawati sebelum bergerak ke sana untuk tujuan kecemasan. Cuba periksa liputan di frekuensi tersebut bila anda berada di tempat tinggi dan terbuka.

Mana-mana pilihan frekuensi amatur berlesen atau Citizen Band yang akan anda gunakan, adalah baik jika anda sertakan frekuensi ini di dalam laporan polis sebelum anda mendaki. Hasilnya, jika berlaku apa-apa kecemasan, pihak di luar sudah mengetahui frekuensi yang anda gunakan dan boleh cuba berhubung melalui frekuensi itu.

Seperti telefon, tenaga bateri radio juga perlu dijimatkan. Elakkan bersembang-sembang kosong kerana ini akan membazirkan tenaga bateri yang mungkin diperlukan pada masa akan datang. Pastikan anda biasa dengan kadar penggunaan tenaga radio anda dan bawa bateri secukupnya untuk sepanjang ekspedisi.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, telefon mudah alih ialah alat yang baik untuk berhubung dengan orang luar jika anda berada di kawasan yang tidak terlalu jauh dari penempatan dan tidak dilindungi bukit-bukau. Pastikan anda mempunyai tenaga bateri dan kredit yang mencukupi. Cuba cari kawasan tinggi serta terbuka menghadap penempatan. Telefon juga boleh digunakan untuk meninggalkan pesanan SMS sesama ahli kumpulan jika perlu.

Radio baik digunakan untuk perhubungan sesama ahli kumpulan terutama jika anda merancang untuk berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Radio juga boleh digunakan untuk tujuan kecemasan melalui frekuensi yang telah dimaklumkan awal atau melalui pengulang amatur (untuk pengendali berlesen sahaja). Penggunaan radio dikawal melalui undang-undang untuk memastikan tiada gangguan kepada pihak lain.

DISCLAIMER: this article was made indipendantly by its author based on his personal view.

 

 

 

Subscribe

Be the first to get the latest updates, right to your inbox.

Leave Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *