Rangsum Ala Tentera Produk Baharu Sukan Ekstrim

Info / Product

Admin
April 4, 2018

Share

Rangsum Ala Tentera Produk Baharu Sukan Ekstrim

oleh: Che Wan Badrul Alias

chewan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sukan ekstrem dan aktiviti lasak semakin berkembang, menyebabkan permintaan terhadap produk dan kelengkapan dalam kategori itu kini dipelbagai untuk memenuhi keperluan penggemarnya.

Kebiasaannya pakaian lasak ala tentera serta kelengkapan seperti beg, kasut, pisau dan sebagainya menjadi antara kemestian, namun kini rangsum atau pek sumber makanan dibekalkan kepada tentera ketika melakukan operasi atau tugasan luar pula diperkenalkan.

Malah, pek rangsum disediakan juga disesuaikan berdasarkan tempoh aktiviti lasak dengan kapasiti bekalan boleh dipilih sama ada untuk sekali makan, sehari (tiga kali makan) atau lebih.

Pengasas Core Outdoor Shop Enterprise dan aktivis program CSR Core, Shafeeq Rahim, berkata rangsum ala tentera mula diperkenalkan di pasaran sejak akhir tahun lalu dan kini menjadi antara produk paling laris di kedai sukan dan aktiviti luar di seluruh negara.

Beliau berkata, CSR Core dibarisi aktivis sukan ekstrem yang memfokuskan kepada aktiviti khidmat masyarakat khususnya dalam pembersihan gunung, turut memainkan peranan sebagai pembekal produk rangsum itu, membabitkan pelbagai jenama.

“Rangsum ini penting untuk memudahkan penggemar sukan ekstrem dan aktiviti luar seperti pendakian dan berkhemah kerana penyediaan bekalan makanan sering menjadi beban besar sepanjang aktiviti sedemikian.

“Sebelum ini bekalan makanan untuk aktiviti luar dibawa secara ‘manual’ membabitkan barang basah seperti bawang, sardin, minyak dan beras, selain perkakasan untuk memasak dan ia merumitkan.

“Justeru pengenalan rangsum ala tentera ini menepati keperluan peminat aktiviti sedemikian, menyebabkan ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya kepada BH.

SET Perkakasan memasak ala tentera – Foto Nurul Syazana Roze Razman

Rangsum sebagai barang wajib

Mengulas produk rangsum di pasaran, Shafeeq berkata pek kembara seperti disediakan Brahim’s contohnya kini menjadi barang wajib untuk pengembara kerana didatangkan dalam dua pilihan mengikut kesesuaian aktiviti iaitu pek satu hidangan atau pek rangsum satu hari.

“Pek kembara satu hidangan sesuai untuk sekali penggunaan mengandungi set lengkap seperti nasi berani ayam, bubur pulut, milo dan set sudu garpu.

“Bagi pek rangsum satu hari pula, ia menyediakan bekalan makanan untuk tiga hidangan beserta snek lengkap untuk memenuhi keperluan tenaga seharian penggemar aktiviti lasak,” katanya

Shafeeq berkata, penggunaan pek rangsum sebenarnya memudahkan pengurusan persediaan aktiviti luar khususnya dalam merancang bekalan makanan diperlukan peserta.

Selain itu, katanya pek disediakan juga lebih ringan dan kurang mengambil ruang dalam beg dibawa penggemar aktiviti lasak, kerana hanya meliputi bekas makanan, tong gas kecil dan penunu pembakar yang hanya bersaiz genggaman tangan.

“Selain makanan asas yang boleh diambil setiap empat jam, snek seperti bar tenaga juga mendapat sambutan khususnya bagi sukan yang memerlukan tenaga tinggi seperti memanjat gunung.

“Bar tenaga perlu diambil sebagai selingan dengan sedikit gigitan setiap jam supaya jumlah gula dalam badan tidak mengalami kejatuhan besar, sehingga menyebabkan kelesuan melampau,” katanya.

SET memasak tanpa rangsum untuk kegunaan dalam hutan – Foto Nurul Syazana Roze Razman

Info: Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK)

  • Dibekalkan untuk anggota tentera ketika terbabit operasi dan latihan hutan
  • Digunakan semua tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – darat, laut dan udara
  • Bekalan penting sebagai makanan kecemasan ketika darurat, bencana alam dan peperangan
  • Disediakan dalam beberapa set mengikut menu iaitu A, B, C dan D
  • Berat pek lebih kurang 2.15 kilogram (kg)

PENUNU pembakar yang hanya bersaiz genggaman tangan – Foto Nurul Syazana Rose Razman

  PENGASAS Core Outdoor, Shafeeq Rahim – Nurul Syazana Rose Razman

link asal: Berita Harian 

Subscribe

Be the first to get the latest updates, right to your inbox.

Leave Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *